Kelantan Bloggers

Perang Twitter mengenai kemenangan Malaysia


Sebagai pembuka bicara, tahniah buat pasukan bola sepak negara atas kejayaan memenangi Piala Suzuki AFF. Namun, izinkan saya berterus-terang, ‘tukang cerita’ ini tidak suka bola sepak. Saya bukan peminat, malah tidak pernah menyukainya langsung.

Bahang perlawanan akhir AFF antara Malaysia dan Indonesia belum reda, pengakuan ini mungkin menjadikan saya kolumnis paling dibenci di rantau Asia Tenggara!

Ketika melanjutkan pengajian di UK, semua menjadi penyokong kelab bola sepak kecuali saya. ManU, Chelsea, Arsenal dan Liverpool – mereka semua sama sahaja kepada saya.

Hujung tahun secara kebetulan bertembung dengan percutian tahunan rutin saya. Ia sekarang termasuklah ikrar untuk berhenti bermain dengan Blackberry, terutama untuk memberi jari-jemari saya rehat secukupnya. Pengikut Twitter saya mungkin telah sedia maklum hal ini!

Oleh itu, saya terlepas keterujaan memuncak pertandingan bola sepak merentasi Asean. Tetapi masih ingat seorang menteri Kabinet Filipina pernah berpesan tatkala saya bertanya kepada beliau, sama ada sukan boleh menyemai perpaduan: “Karim, ia selalunya menzahirkan sebaliknya, orang saling benci-membenci antara satu sama lain pada akhirnya.”

Benar, ungkapan ramalan ini yang saya alami kemudiannya. Seperti terjadi, saya terpaksa membuka laman Twitter pada petang Ahad semasa pusingan pertama perlawanan akhir berlangsung, setelah kawan-kawan mula menghantarkan banyak SMS meluap-luap. Di satu sisi lain, rakan-rakan Indonesia mengadu mengenai perilaku tidak sporting oleh peminat dari Malaysia (mereka dengan pancaran laser berwarna hijau) sementara di satu pihak lain, teman-teman Malaysia menceritakan, orang Indonesia tidak menerima kekalahan sebagai adat permainan.

Uh-oh: ini resipi pergaduhan besar! Pada masa itu, saya benar-benar berharap untuk tinggal dalam rantau yang kurang kegilaannya terhadap bola sepak.

Lebih dari itu, retorik kemarahan dilihat semakin menjana momentum. Ketika saya menatap Twitter meskipun dengan berat hati, mendapati ia dibanjiri komen berkaitan perlawanan yang baru sahaja tamat - dari perihal kekecewaan sehinggalah kepada keradangan melampau. Saya mendengus dalam hati apabila terbaca komen-komen berbisa, terutama kalangan 15 juta rakyat Indonesia dalam Twitter.

Sebanyak empat topik (bertanda #): “#malaysiacheaterlaser”, “#Hate Malaysia”, “#Love Malaysia” dan “#Love Indonesia” menjadi trend seluruh dunia dalam laman Twitter pada masa itu. Tiga topik terakhir itu menjadi trend sepanjang minggu, disertai oleh #harimaumalaya dan #malaysiaboleh setelah pasukan Malaysia merangkul gelaran juara pada malam Rabu.

Semua dalam dunia Twitter pastinya berfikir, kita hampir-hampir berperang kerana bola sepak! Pelawak dari Amerika Syarikat, Andy Borowitz menghantar tweetnya: “Menyelami perang Twitter hari ini: Malaysia meminati Bieber (ikon muda Justin Bieber) dan Indonesia tidak.”

Benar, terdapat beberapa pengajaran di sini: pertamanya, rakan dari Filipina saya ternyata benar. Sukan, terutama sukan berpasukan yang kompetitif boleh menjadi pembelah-bahagi di peringkat kebangsaan. Di Amerika Latin, negara-negara di rantau itu pernah hampir-hampir menjurus kepada peperangan hanya kerana bola sepak. Kedua, keterlangsungan dan jumlah aktiviti dalam internet (terutama Twitter) membuktikan kuasa luar biasa media sosial.

Kita di Asia Tenggara merupakan pengguna utama Twitter dan Facebook. Indonesia mempunyai komuniti Twitter ketiga terbesar selepas AS dan Brazil, sementara rakyat Malaysia dilaporkan mempunyai ‘rakan’ Facebook paling ramai dalam internet, dengan purata 233 rakan-rakan setiap penggunanya.

Pertimbangkan buat sejenak, jumlah gabungan tweet dalam kalangan rakyat Indonesia dan Malaysia (kebanyakannya Indonesia) pada ketika perlawanan bola sepak itu berupaya melepasi tweet berkenaan personaliti kesayangan seperti Justin Bieber dan Lady Gaga.

Sesungguhnya, media sosial menjadi proksi kepada sentimen awam. Ini ‘mendatari’ dan membuka diplomasi awam dalam cara yang banyak persamaan dengan Wikileaks membongkar segala ‘kerahsiaan’ diplomatik.

Kita kini perlu mengimbas internet untuk mengukur bagaimana orang berfikir dan merasa. Golongan elit dalam dunia politik dan perniagaan perlu berdepan dengan realiti baru yang mudah berubah ini – sesungguhnya ia mengehadkan keupayaan untuk urus niaga peringkat tinggi melalui pintu belakang.

Namun begitu, terdapat juga peningkatan kecelaruan mengenai perbezaan antara dunia nyata dan virtual. Sesungguhnya, internet muncul sebagai alam sementara yang selari dengan realiti. Apa berlaku dalam internet “menjadi realiti”, di mana tweet, blog dan email kita menjadi lebih refleksi mengenai apa yang berlaku berbanding keadaan sebenarnya!

Jadi, kita boleh menyimpulkan, “perang Twitter” baru-baru ini mempamerkan sikap buruk dan positif kedua-dua negara. Rakyat Malaysia dan Indonesia sama-sama menunjukkan betapa rasa syak wasangka, xenofobia yang turut diliputi dengan kekurangan/kelebihan kompleks yang melampau.

Walau bagaimanapun, ‘perang twitter’ ini turut menunjukkan kepada kita kreativiti, jenaka dan perasaan kesetiaan dan cinta yang mendalam dan meluap-luap untuk tanah air masing-masing.

Pendek kata, ia menunjukkan bagaimana, kita rakyat Indonesia dan Malaysia, sebenarnya lebih kurang sama sahaja. Kita semua begitu sensitif, benci untuk mengalami kekalahan dan sukakan kemenangan!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered By Blogger

Arkib Blog