Kelate.Net Tawan Puncak Bukit

KOTA BHARU Seramai 15 ahli Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan (Kelate.Net) mencipta sejarah apabila berjaya menawan puncak Bukit Keluang, Besut dalam satu ekspedisi yang diadakan kelmarin.
Aktiviti Menawan Puncak Bukit Keluang anjuran Kelate.Net bermula dengan konvoi beramai-ramai sebanyak 10 buah kereta dari perkarangan Stadium Sultan Muhammed IV ke destinasi tersebut yang terletak sejauh 97 kilometer dari Kota Bharu.
Pengarah Programnya, Mahizi Mahmood berkata, tujuan penganjuran ekspedisi diadakan bertujuan untuk merapatkan hubungan silaturrahim dalam kalangan ahli kelab itu setelah sekian lama tidak melakukan aktiviti sampingan selain daripada aktiviti memberi sokongan moral kepada pasukan Kelantan di stadium.
“Aktiviti ini bermula dengan konvoi beramai-ramai dari Kota Bharu menaiki kenderaan masing-masing. Setiap kenderaan mengibarkan bendera negeri dan The Red Warriors sebagai menyemarakkan penganjuran program ini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian semalam.
“Aktiviti pendakian ini merupakan pertama kali dianjurkan dan berdasarkan kepada sambutan yang ditunjukkan oleh kalangan ahli, kami menyifatkan ianya satu permulaan yang menarik dan harus diteruskan pada masa akan datang.
“Seramai 33 orang telah terlibat menyertai ekspedisi ini melibatkan kaum wanita malahan anak-anak kecil juga tidak ketinggalan dibawa bersama dengan kita berkonvoi ke Bukit Kluang. Daripada jumlah itu, seramai 15 ahli telah memulakan pendakian dan tiba ke puncak dalam tempoh 45 minit,” katanya.
Menurut Mahizi, walaupun menghadapi kesukaran untuk turun daripada puncak tersebut kerana laluannya cukup berliku dan licin akibat hujan sebelum itu, tetapi ahlinya selamat  tiba ke kaki bukit dalam tempoh sejam.
“Selain daripada aktiviti pendakian tersebut, kami juga turut mengadakan majlis barbeku dikawasan kaki bukit tersebut untuk semua yang menghadiri program ini. Acara bebas juga turut diselitkan dengan bermain bola sepak pantai selain mandi di kawasan perlancongan tersebut.
“Berdasarkan kejayaan penganjuran ekspedisi ini kita bercadang untuk menawan puncak Gunung Stong di Dabong tidak lama lagi bagi menerokai air terjunnya yang disifatkan salah satu air terjun yang tertinggi di Asia,” katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Blog